Friday, January 28, 2011

Suami Normala sakit kritikal?

Maarof Abd. Mutalib (kiri) membantu isterinya, Normala Sudirman berkempen bagi 
Pilihan Raya Kecil DUN Tenang di Kampung Tenang, Labis, Johor, semalam.


Status kesihatan Maarof Abd. Mutalib, suami kepada Normala Sudirman calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, menjadi persoalan kerana beliau dilaporkan mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini.

Perkara itu didedahkan menerusi sebuah blog, http://marahku.blogspot.com/ yang mendakwa Maarof mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat, Labis, Johor.

Ia diikuti dengan cuti sakit selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh dari pusat kesihatan sama.




Maarof's MC from Jan 6 to Jan 7



Maarof's MC from Jan 10 to Jan 23


Maarof's MC from Jan 24 to Jan 28

Ketiga-tiga salinan surat sakit yang dikeluarkan kepada Maarof itu turut dimuat naik ke dalam blog tersebut menerusi entri bertajuk 'PRK Tenang: Normala's cheating husband has been keeping secrets from her' yang disiarkan semalam.

Menurut penulis blog itu, cuti sakit yang panjang tersebut membayangkan Maarof sedang berdepan masalah kesihatan yang serius.

''Saya bertanyakan rakan yang merupakan seorang doktor, apakah penyakit yang memerlukan seseorang mengambil cuti sakit sehingga dua minggu dan dia (doktor) berkata, penyakit itu mestilah sangat serius dan berkemungkinan mengancam nyawa.

''(Sebab jika) demam hanya diberikan cuti sakit satu atau dua hari dan jangkitan mata pula paling lama hanya beberapa hari.

''H1N1 pula akan dikuarantin selama dua minggu. Mungkinkah beliau dijangkiti H1N1?.

''Saya tidak pasti tetapi selepas dua minggu, adalah jelas beliau masih tidak sihat untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen dan doktor menambah lima hari lagi cuti sakit dari 24 hingga 28 Januari," katanya.

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, penulis blog tersebut menambah, beliau membuat banyak rujukan, menyemak kamus perubatan, bercakap dengan ahli fizik dan pakar, malah, turut menulis kepada beberapa buah pusat kawalan penyakit.

Bagaimanapun tambahnya, kesemua usahanya itu menjurus kepada satu jawapan iaitu kesimpulan yang tidak dapat dijelaskan.

''Kami dengan sedih memaklumkan kepada Cikgu Mala (Normala) bahawa suaminya itu telah mengalami politicitis husbandus temperaturis permanantum atau juga dikenali sebagai election fever-candidate's husband strain 2 (EF-CHS2).

''Ia boleh menjadi penyakit yang kekal dan membunuh kariernya sebagai seorang guru," katanya dalam blog itu.

Penulis blog itu menambah, kelibat Maarof yang sentiasa kelihatan bersama Normala ketika berkempen sebelum ini telah menimbulkan pertanyaan di kalangan orang ramai mengenai pekerjaan sebenar beliau.

Antaranya, kata beliau, apakah Maarof bekerja sendiri atau merupakan seorang ahli politik sepenuh masa.

''(Sebenarnya) Maarof adalah seorang guru dan sangat jelas beliau sedang merahsiakan sesuatu daripada isterinya.

''Bukan rahsia kecil tetapi rahsia yang boleh merubah hidup," katanya.

Sementara itu, tindakan Maarof mengambil cuti sakit selama 21 hari untuk membantu isterinya berkempen dalam Pilihan Raya Kecil DUN Tenang telah memburukkan imej profesion perguruan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menegaskan, Maarof juga menunjukkan teladan buruk kepada pelajar-pelajarnya apabila berbohong mengatakan dirinya sakit sedangkan beliau boleh keluar rumah membantu isterinya berkempen sejak minggu lalu.

Beliau yang kesal dengan perkara tersebut berkata, suami Normala itu sepatutnya memohon cuti tanpa gaji dan juga kebenaran membantu Pas berkempen daripada Jabatan Pelajaran Johor, bukannya mengambil cuti sakit.

"Pada saya, dia (Maarof) seorang yang tidak bertanggungjawab, dia 'berbohong pada siang hari' iaitu menggunakan cuti sakit untuk berkempen secara terbuka.

"Kalau sakit sampai lebih tiga minggu, apa halnya dia boleh mengharungi banjir, berhujan berpanas dan bergerak ke sana ke mari untuk membantu isterinya berkempen?

"Semua orang nampak gambar dia bersama isterinya pada hari penamaan calon dan juga hampir setiap hari di media massa, rupa-rupanya dia ambil cuti sakit," katanya.

Mohd. Puad berkata, selama ini Pas menaburkan pelbagai fitnah dan tohmahan ke atas calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim walaupun semua dakwaan mereka terbukti tidak benar dan berjaya ditepis.

Rupa-rupanya, jelas beliau, calon Pas jauh lebih buruk daripada dakwaan-dakwaan mereka terhadap Mohd. Azahar, apabila suami Normala sendiri sanggup berbohong mengatakan dirinya sakit sedangkan beliau aktif berkempen.

"Mereka lebih teruk, Sanggup berbohong. Saya harap rakyat di Tenang menilai sendiri bagaimana sikap orang Pas ini," katanya.

Mengenai tindakan yang akan diambil pihaknya ke atas Maarof, Mohd. Puad berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada siasatan dan pertimbangan pihak Jabatan Pelajaran Johor.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan kesal dengan tindakan Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat mengeluarkan sijil cuti sakit (MC) selama 21 hari kepada Maarof sedangkan keadaannya dikatakan sihat malah bergiat amat aktif dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, pihaknya curiga dengan tindak tanduk klinik kerajaan terbabit seolah-olah terdapat 'isu dalaman' dalam pengeluaran sijil MC berkenaan.

Dalam hal ini, beliau berkata, kini terpulang kepada majikan Maarof iaitu pengetua atau guru besar SMK Tenang Stesen dan Pengarah Pelajaran Johor untuk menyiasat perkara itu dengan meminta klinik berkenaan mengeluarkan laporan sebenar kedudukan MC tersebut.

"Kalau sudah dikeluarkan sijil MC, maka terpulang kepada guru besar untuk menerima atau menolaknya, mengikut peraturan pun tidak boleh dipersoalkan surat doktor berkenaan.

"Cuma, persoalannya mengapa sekarang baru dia (Maarof) minta cuti panjang, adakah 'sakitnya' baru dikesan sekarang. Dan untuk meleraikan persoalan ini, maka disarankan pihak guru besar dan Jabatan Pelajaran Johor menyiasat sama ada sijil itu betul atau palsu," katanya.

Sementara itu, Jabatan Pelajaran Johor diminta menyiasat bagaimana Maarof Abd. Mutalib, aktif berkempen membantu isterinya sedangkan beliau mengambil cuti sakit 21 hari sehingga esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang menyerahkan kepada jabatan itu untuk mengambil tindakan sewajarnya jika terbukti Maarof mengambil sijil cuti sakit (MC) semata-mata untuk berkempen bersama isterinya.

"Kalau benar sakit, beliau tak seharusnya keluar berkempen membantu isterinya yang bertanding. Sekiranya berbuat demikian, bermakna beliau bukan benar-benar sakit dan boleh menjalankan tugas sebagai guru seperti biasa.

"Beliau boleh dianggap tidak amanah dan diambil tindakan sekiranya beliau sengaja menggunakan alasan sakit sedangkan sebenarnya untuk berkempen," katanya.

Ditanya mengenai hasrat Maarof untuk berhenti sebagai guru jika isterinya dipilih menjadi wakil rakyat DUN Tenang, Maulizan berkata, terserah kepada beliau untuk berbuat demikian kerana itu haknya.

"Dari segi moral, memang patut beliau meletakkan jawatan kerana guru merupakan pelaksana dan pendokong dasar kerajaan. Sekiranya tidak puas hati dengan dasar kerajaan, beliau tidak harus kekal sebagai guru kerajaan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman menyifatkan suami calon Pas tersebut melakukan 'pembohongan' kepada masyarakat.

"Saya harap suami Cikgu Mala janganlah ajar murid dan masyarakat berbohong kerana ia merosakkan pemikiran rakyat.

"Macam mana hendak menjadi wakil rakyat kalau ajar orang berbohong," katanya sambil meminta Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan supaya menyiasat MC yang diberikan kepada Maarof.

Masyarakat di sekitar Labis pula tidak dapat menerima perbuatan Maarof yang sanggup mengambil cuti sakit semata-mata untuk menemani isterinya berkempen dalam Pilihan Raya Kecil DUN Tenang.

Perbuatan Abd. Mutalib itu jelas sekali mencemarkan kredibiliti institusi perguruan dan hanya memberi teladan buruk kepada pelajar-pelajar untuk lebih giat ponteng sekolah.

Masyarakat di kawasan ini kehairanan dan 'terpinga-pinga' memikirkan bagaimana guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen masih dapat menemani isterinya untuk berkempen di setiap pelosok DUN Tenang.

Menurut Ketua Kampung Felda Tenang, Darham Daud, beliau kesal apabila seorang penjawat kerajaan sanggup menyalahi etika dengan berbohong untuk mendapatkan cuti sakit.

"Cuti sakit tidak boleh disalah gunakan, ia memang sudah menyalahi etika, kalau dia benar-benar sakit, dia sepatutnya duduk di rumah dan bukannya berkempen untuk pilihan raya," katanya.

Katanya, apa yang membuatkan beliau marah adalah parti Pas sering melaungkan syiar Islam namun mereka sanggup berbohong dan mengabaikan tanggungjawab semata-mata mengejar kuasa politik.

Sementara itu, menurut seorang penoreh getah, Rizal Musa, 41, dia marah apabila mendapati seorang guru sanggup berbohong untuk mengambil cuti sakit yang begitu lama sehingga hampir tiga minggu.

"Memang saya marah sangat, adakah dia tidak fikirkan nasib anak-anak muridnya dan sampai hati dia bebankan tugas kepada guru-guru yang lain," katanya.

Kata seorang lagi penoreh getah, Zulkifli Ibrahim, 36, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Maarof itu bekerja untuk kerajaan dan menerima gaji dari kerajaan.

"Walaupun saya bukan seorang kakitangan kerajaan, saya tetap tahu apa itu amanah dan kalau begini cara dia, suami Calon Pas itu bukanlah seorang yang amanah," katanya.

Seorang usahawan, Zolkafli Samad, 45, pula mencadangkan kepada suami Normala itu untuk berhenti daripada perkhidmatan kerana guru sekolah itu tidak layak lagi mengambil gaji bulanan kerana sanggup menipu untuk mendapatkan cuti.

"Dia tidak habis-habis mengatakan kerajaan penuh dengan rasuah dan melibatkan duit haram, adakah kerana dia orang Pas, maka gaji dia halal, perbuatan dia itu betul-betul buat saya marah," katanya.

Seorang pelajar, Syuhada Md. Yusoff, 20, pula berkata, seorang guru sewajarnya memberi contoh yang baik kepada anak murid dan bukannya menipu untuk tidak bekerja.

"Tidak bolehlah kalau semata-mata nak tolong isteri berkempen, dia ambil cuti, kalau bekerja kita kena jujur, bukannya menipu," katanya.

Kata seorang pekerja swasta, Suhaila Jaafar, 19, perbuatan Maarof itu jelas sekali mementingkan diri sendiri kerana sanggup mengabaikan tanggungjawab sebenar sebagai seorang guru.

"Sepatutnya dia mematuhi tatasusila kerja, apa yang dia buat itu akan hanya menyusahkan guru-guru lain di sekolahnya kerana tugasnya itu terpaksa dibebankan kepada guru lain," katanya.

3 comments:

  1. jadi ini semua apa hukumnye? halal syarie ke menipu mcm ni? ke halal syarie bagi mereka saje tp haram syarie bagi penyokong kerajaan? lawak tul le...

    ReplyDelete
  2. Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan mesti menyiasat perkara ini dgn segera.
    Ambillah tindakan yg sewajarnya.
    Kalau tidak rakyat akan menganggap semua orang boleh bekelakuan spt Cikgu ini.
    Tindakan mesti diambil terhadap guru ini dan juga pegawai perubatan yg telah memberi MC itu.
    Janganlah disebabkan tiada tindakan nanti BN kantoi di PRU13 nanti

    ReplyDelete
  3. macam ni la sikap orang PAS kalau dia buat takpe orang lain buat tak boleh. kalau dah MC duduk la dekat rumah yang pergi berkempeng tu buat apa... kalau dah pergi berkempeng tu maknanya tak sakit la tu... kalau tak sakit buat apa MC tu namanya dah menipu... kalu dah tak suka kerja lebih baik berhenti aje ramai lagi orang dekat luar tu yang nak kerja daripada ambik orang macam ni.

    daripada YOUB IPOH

    ReplyDelete